Langkah-langkah untuk mengatasi stress ini dipetik daripada buku “How to Stop Worrying and Start Living” hasil karangan Dale Carnegie.
1. Hidup untuk hari ini
Kita sentiasa takut mengenai sesuatu yang tidak pasti, contoh
terdekat adalah hari esok. Dalam masa kita memikirkan masalah hari ini,
kita juga terfikir, bagaimana dengan esok? bagaimana dengan bulan
depan? tahun depan? Ianya menyebabkan kita bimbang mengenai esok, dan
juga hari ini. Ini secara langsung mengakibatkan kita sentiasa dalam
kebimbangan.
Seharusnya, kita perlu fokus kepada hari ini sahaja, masalah yang
mungkin akan datang, kita fikirkan apabila ia datang. Ia bukan sahaja
membantu mengurangkan kebimbangan tetapi juga membuatkan kita fokus
kepada masalah hari ini iaitu langkah kedua;
2. Satu tugas/masalah pada satu masa
Ramai daripada kita cuba mengejar untuk mampu melakukan pelbagai
tugas pada satu masa. Ya, tidak dinafikan ia membolehkan kita
menyelesaikan pelbagai tugas dalam masa yang singkat, tetapi ia juga
memberi kesan kepada tahap kebimbangan kita.
Dengan melakukan pelbagai tugas pada satu masa, menyebabkan kita
bimbang dengan pelbagai masalah. Akan tetapi jika kita fokus kepada
satu tugas, kita hanya akan memikirkan tugas itu sahaja, membuatkan kita
kurang bimbang dan menjadikan kita lebih efektif.
Untuk tiga langkah seterusnya, ia merupakan satu langkah terbahagi
kepada tiga bahagian; Ia membincangkan cara untuk menghadapi sesuatu
masalah dengan menerima situasi terburuk yang mungkin berlaku.
3. Analisis dan cari situasi terburuk yang mungkin berlaku
Jika kita ada satu masalah, cuba untuk menganalisis kesan daripada
masalah itu dan fikirkan apa perkara yang paling teruk mungkin berlaku
kerana masalah itu. Buat masa ini jangan terlalu bimbang dengan kesan
dan akibat, sebaliknya jujur dan pastikan kita mendapat situasi
terburuk, ia mungkin satu ataupun lebih.
4. Menerima hakikat yang situasi terburuk itu boleh berlaku
Selepas kita menyenaraikan segala situasi terburuk yang boleh
berlaku, kita mesti dengan tenang dan redha menerima yang ia mungkin
benar-benar berlaku kepada kita. Selagi kita tidak boleh menerima
situasi ini jangan teruskan ke langkah seterusnya kerana ia tidak akan
membantu, sebaliknya membuatkan kita lebih bimbang dan bercelaru.
5. Cari cara untuk menyelesaikan atau mengurangkan masalah
Jika kita sudah menerima hakikat ataupun redha dengan perkara yang
mungkin berlaku, sebenarnya kita akan lebih tenang dan kurang bimbang,
menjadikan kita lebih efektif untuk mencari jalan keluar dari masalah.
Jika kita cuba mencari jalan penyelesaian dan pada masa sama kita
bimbang dengan kesannya, ia akan membuatkan fikiran kita bercelaru dan
menyukarkan untuk mencari cara-cara menyelesaikan sesuatu masalah.


